Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Marhaban Ya Ramadhan, kita ucapkan untuk bulan suci ini kerana mengharapkan agar hati dan jiwaraga kita diasah dan diasuh, dilatih dan ditarbiyyah serta dinaiktaraf dan diiktiraf. Selamat memasuki madrasah Ramadhan ini dan semoga setelah keluar darinya segala dosa-dosa kita diampuni oleh Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik buat kita semua. Demi sesungguhnya “sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah.” Ramadhan Kariim dan selamat beribadah dengan penuh keikhlasan saya ucapkan buat semua tetamu ziarah yang budiman sekalian!

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan


Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata: “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya: “Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata: ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke Syurga dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang jika disebut namamu namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’.” (Riwayat Imam Al-Bukhari).


Bersedekah erat ikatan kemesraan sesama insan

SETIAP amalan baik yang dikerjakan pada Ramadan akan mendapat balasan atau pahala berlipat ganda berbanding bulan lain. Inilah antara kelebihan yang diberikan Allah kepada umatnya pada bulan ini.

Pada bulan mulia ini, umat Islam digalakkan bersedekah dalam apa bentuk sekalipun kerana amalan itu mempunyai banyak keberkatan bukan saja kepada pemberi, lebih-lebih lagi kepada penerimanya.

Mengenai perkara ini, daripada riwayat at-Tirmizi bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada Ramadan.”

Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan pada Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah.

Perkara ini kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah pada hari akhirat kelak.

Bersedekah bukan hanya memberikan wang, malah termasuk mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang berpuasa.

Konsep memberi (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan saja selama Ramadan, bahkan pada bulan lain. Perkara sedemikian kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya.

Dengan bersedekah seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya, di samping mengeratkan ikatan kemesraan dalam masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.


No comments:

Post a Comment

MAYBANK : 562012005095 atas nama; PUSAT JAGAAN NUR EL AMIN